Pengundi Hulu Selangor mahu pemimpin Umno
2010/03/29
HULU SELANGOR: Penduduk mahu Barisan Nasional (BN) meletakkan pemimpin Umno bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kerana majoriti pengundi di kawasan itu adalah orang Melayu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim, berkata pemilihan calon Umno penting kerana 53.94 peratus daripada 63,000 pengundi di Hulu Selangor adalah orang Melayu.
"Apa yang perlu difikirkan adalah calon popular yang boleh buat kerja, penduduk tempatan dan berjiwa rakyat. Kami tidak mahu calon retorik yang menyusahkan penduduk setelah menang dalam pilihan raya di sini.
"Banyak perubahan dan janji pilihan raya tidak ditunaikan calon terdahulu. Pengundi serik dengan keadaan ini sewajarnya semua pihak perlu pertimbangkan permintaan dan suara dari akar umbi yang mempunyai kuasa mutlak memilih wakil rakyat," katanya.
Mohd Amin Tan dari Bandar Bukit Sentosa pula berkata, BN perlu memilih calon Umno yang mempunyai peluang lebih besar untuk merampas kerusi itu, memandang pengundi India hanya 18.98 peratus."Kekalahan lalu perlu dijadikan pengajaran dan sepatutnya peluang kali ini tidak perlu dilepaskan begitu saja. Hanya kemenangan bakal mengubah nasib penduduk di sini,’ katanya.
Lee Kwai Ling pula berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada calon dari Umno untuk kembali menawan Hulu Selangor.Katanya, pengundi Cina juga hidup tertekan dan serba kekurangan di bawah penguasaan parti pembangkang yang gagal menunjuk prestasi kerja yang baik.
"Paling penting kerusi itu diberikan kepada Umno. Ramai calon yang berkelayakan dari parti terbesar ini. Saya optimis ramai pemimpin tempatan anak jati Hulu Selangor boleh bertanding dalam pilihan raya kecil itu,” katanya.
Wakil kaum India, Sauthi Devi Virrapan berkata, ramai pengundi yakin BN akan mendapat laluan mudah sekiranya calon itu datangnya daripada kerusi Umno. "Ketika ini, usah mencari bibit permusuhan dengan Umno tetapi menjalankan permuafakatan dan rundingan terbaik untuk mencipta formula kemenangan bergaya.
"Saya sokong dan akan memilih calon berjiwa rakyat dan sedia menggempur musuh bagi mencari kemenangan dalam pilihan raya kecil nanti," katanya.
Pekerja swasta, Kamala Suppayah, berkata suara peringkat akar umbi perlu diberikan perhatian pemimpin atasan kerana sebarang kemungkinan ditentukan mereka.Katanya, pengundi sudah bijak membuat pemilihan dan sebab itu faktor calon perlu diberi perhatian.
"Tidak salah mengubah kerusi dari MIC kepada Umno berdasarkan beberapa alasan munasabah yang boleh diberi perhatian berat,” katanya.
Tan Kwai Yee dari Hulu Yam Bharu berkata, kawasan Hulu Selangor memerlukan pembangunan seimbang yang berterusan dalam semua perkara."BN wajar meletakkan sasaran dan mengatur strategi tepat bagi meraih kemenangan semula bagi mengekalkan kejayaan menang tiga kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum lalu,” katanya.
Hak Cipta Terpelihara 2010 - Berita Harian Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment