Persimpangan bertingkat Sungai Buaya dijangka siap Jun 2013, Harian Metro, 8 Sept 2012
BUKIT BERUNTUNG: Lebih 120,000 pengguna kenderaan di sekitar Sungai Buaya, Sungai Choh, Serendah dan Rawang Utara di sini, mendapat manfaat daripada Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Baru Sungai Buaya yang dijangka siap sepenuhnya Jun tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, projek pembinaan jambatan yang dimulakan pada 14 Jun tahun lalu dengan kos RM107 juta itu dapat memendekkan jarak perjalanan penduduk setempat ke ibu kota berbanding menggunakan laluan sedia ada.
“Ketika ini, penduduk di sekitar Sungai Buaya dan Sungai Choh terpaksa menggunakan Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung atau Persimpangan Bertingkat Rawang untuk memasuki Lebuhraya Utara-Selatan. Pembinaan persimpangan baru ini memberi manfaat dengan jarak dan masa perjalanan dipendekkan.
“Ini termasuk penjimatan petrol bagi perjalanan dua hala, selain penjimatan masa bagi perjalanan dua hala iaitu kira-kira 40 minit. Ketika ini perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira satu setengah jam,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu Shaziman mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Persimpangan Bertingkat dan Plaza Tol Sungai Buaya membabitkan empat zon iaitu zon A, B dan C, dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda sejauh satu kilometer.
Menerusi lawatan berpandu itu, Shaziman diberikan penerangan ringkas mengenai status projek persimpangan bertingkat yang sedang dilaksanakan Plus Expressways Berhad (Plus) dengan bantuan kontraktor dengan peratusan pembinaan menjangkau 52 peratus siap.
Dengan keupayaan kontraktor menjalankan kerja pembinaan melebihi empat peratus lebih awal dan mendahului jadual ditetapkan sebanyak 40 peratus menyebabkan kementerian terbabit optimis menyiapkannya pada Jun tahun depan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08
No comments:
Post a Comment